Berita Palsu: Ingkar Agama dan Perundangan – Megat Syazlee Mokhtarom

Read Time:3 Minute, 53 Second
Berita Palsu: Ingkar Agama dan Perundangan – Megat Syazlee Mokhtarom

MEGAT SYAZLEE MOKHTAROM
Jun 27, 2021 16:47 MYT

THEFRONTMEDIA.CO – TAHUKAH masyarakat tentang wujudnya sekumpulan manusia yang merancang untuk menguasai dunia? Mereka ini terdiri daripada golongan Yahudi yang bertopengkan pertubuhan-pertubuhan di bawah pelbagai nama. Tahukah anda bahawa mereka merupakan penyembah setan dan dajal dan telah berjaya menyusup masuk ke negara kita? Adakah anda tahu bahawa sebenarnya serangan 9-11 di bangunan World Trade Centre itu adalah sebenarya dirancang oleh Yahudi, dan bukannya dilakukan oleh golongan extremis Islam?

Ini adalah antara teori yang sering dikongsi melalui pelbagai landasan digital dan dibualkan dengan hangat di kedai-kedai kopi. Mengapakah masyarakat kita begitu cenderung untuk mempercayai teori-teori yang tidak berasas? Sedangkan kebanyakan perkongsian hanyalah teori konspirasi yang menimbulkan fitnah dan kekeliruan. Berdasarkan pemerhatian saya daripada lambakan pautan di media sosial, ramai dari masyarakat Islam bukan sahaja mudah percaya kepada teori-teori konspirasi ini, malahan begitu gopoh dalam menularkanya.

Kecenderungan ini tidak terbatas kepada mereka yang bersikap jahil atau paranoid, bahkan golongan berkelayakan tinggi, termasuklah para pemimpin turut berkongkalingkung dalam menyebarkan teori-teori palsu ini. Seperti di Indonesia, di mana pemimpin-pemimpin mereka serta pemberita yang berwibawa, masih menyalahkan tragedi serangan bom di Bali kepada ejen-ejen CIA. Penularan teori konspirasi dan fakta palsu mungkin dianggap remeh oleh sebahagian masyarakat. Hanya perbualan kosong untuk mengisi masa, sambil bergelak tawa dan bercanda mesra.

Namun sejarah telah membuktikan kemudaratan yang timbul apabila masyarakat awam mengambil serius teori ini, lebih-lebih lagi apabila ianya menglibatkan kesihatan awam. Pada tahun 2003, masyarakat di Nigeria telah memboikot vaksin polio kerana mereka mendakwa program vaksin tersebut merupakan sebuah plot negara-negara barat untuk menjangkiti orang Islam dengan virus HIV. Ini telah mengakibatkan penularan wabak polio di benua Afrika yang memberi kesan kepada beribu-ribu nyawa.

Di Malaysia, teori yang serupa mula dibualkan dari bibir-bibir yang terkumat-kamit menabur fitnah. Wabak Covid-19 ini kononnya merupakan pandemik bagi menghancurkan negara-negara Islam. Sekatan terhadap kuliah agama dan kegiatan mengimarahkan masjid hanyalah kesan daripada fitnah dajal. Pihak berkuasa agama pula terlalu berkiblatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hingga sanggup mengabaikan syiar agama.

Terbit juga golongan anti-vaksin yang mendakwa kononnya di dalam vaksin tertanam cip nano yang berkesan untuk mengenalpasti kedudukan setiap penerima. Sudah tentu negara barat sebenarnya mempunyai rancangan dan hasrat untuk membunuh semua penerima vaksin! Selesai mulut-mulut mereka menjampi serapah dan mengkafirkan pihak berkuasa, lidah tidak bertulang mereka berterusan pula mendendangkan zat-zat kebaikan produk-produk keluaran mereka yang lebih berkesan mencegah wabak Covid-19. Namun ianya bersyarat, yakni kita hanya bertawakal. Ketentuan itu tetap pada Illahi. Ubatan mereka pula, sudah dibeli tidak boleh dikembalikan.

Masyarakat perlu sedar bahawa tindakan menyebarkan berita palsu ini bukan sahaja mendatangkan kerugian; ianya juga bercanggah dengan undang-undang sedia ada. Baru-baru ini seorang suri rumah didenda RM5000.00 kerana menyebarkan berita tidak benar berkenaan penularan Covid-19 menerusi media sosial. Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang menjadikan kesalahan mana-mana orang yang melalui apa-apa cara (termasuklah dengan mengadakan, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan), dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan orang awam.

Selain itu penyebar dan penerbit fakta palsu juga boleh didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(iii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 di mana pesalah boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun. Harus ditekankan bahawa Sekyen 233 turut meliputi sebaran berita yang tidak benar di mana-mana kesemua platform digital. Sedangkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan pula melarang penyebaran berita palsu dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kebejatan perkongsian maklumat palsu tanpa batasan adalah barah kritikal yang bermudarat dan mendatangkan kerugian. Masyarakat kita harus kembali kepada tradisi tabayyun dan menyiasat sebelum terburu-buru untuk menyebarkan. Seperti firman Allah dari surah al-Hujurat 49:6: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.” Ahli-ahli bijak pandai agama telah mengariskan panduan dalam penerimaan sesuatu berita, kita boleh simpulkan langkah-langkah yang perlu di ambil seperti berikut: (1) melihat kepada sumber, (2) mencermati dan menyiasat, (3) tidak pasti, jangan kongsi.

Megat Syazlee Mokhtarom

Rumusnya, saya berpendapat masyarakat perlu lebih berhati-hati dan peka sebelum menerima atau menyebarkan berita. Dalam dunia di hujung jari kini, kebanyakan berita yang tersebar tidak
mempunyai sumber yang jelas sedangkan pengesahan maklumat sudah menjadi terlalu mudah untuk dilakukan. Sedangkan kita semua tahu, bertindak atas dasar kejahilan adalah sesuatu yang dikeji.

Kredit : Utusan Malaysia


MEGAT SYAZLEE MOKHTAROM ialah seorang peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.

0 0
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *