Gagasan Bebas Piagam Rakyat bertanding PRN Melaka

Read Time:2 Minute, 55 Second
Gagasan Bebas Piagam Rakyat bertanding PRN Melaka

UTUSAN ONLINE
November 5, 2021

PETALING JAYA – Sekumpulan individu membuat keputusan untuk bertanding di bawah Gagasan Bebas Piagam Rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pengasas bersama dan penasihat gagasan, Haniff Khatri Abdulla berkata, gagasan itu dibentuk sebagai alternatif kepada rakyat negeri Melaka, terutamanya kepada pengundi yang sudah hilang kepercayaan terhadap politik kepartian.

“Politik kepartian sudah hilang integriti dan kredibiliti, ini disebabkan ketiadaan peruntukan perundangan ketat berkaitan pengosongan kerusi mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjatuhkan kerajaan akibat lompat parti serta ketiadaan undang-undang ketat berkaitan kutipan dana politik, kita kehilangan demokrasi dalam parti akibat tiada peruntukan ketat.

“Justeru, sudah tiba masanya rakyat untuk berubah minda keluar dari konsep kepartian, kerana pilihan raya tidak mewajibkan penglibatan parti politik. Mana-mana individu memenuhi syarat jadi calon boleh dan wajar menawarkan secara bebas tanpa melibatkan mana mana parti politik,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Bagaimanapun, katanya, gagasan membuat keputusan untuk bertanding secara berkumpulan kerana mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi pilihan raya.

“Kami sedar bahawa sejarah membuktikan calon bebas bergerak secara individu tidak mempunyai peluang kejayaan yang menggalakkan kerana kekurangan fahaman dan penerimaan rakyat sebelum ini serta perjuangan dan perkhidmatan untuk kesejahteraan rakyat dijangka dan dipercayai kukuh dalam satu bentuk kumpulan.

“Gagasan ini adalah landasan mencantum semua calon bebas yang berwibawa dan berkelayakan, ikhlas menawarkan diri berkhidmat demi menyelamatkan rakyat daripada kerakusan politik kepartian untuk menjadi calon dibawah satu gagasan bebas yang mempunyai falsafah tertentu,” katanya.

Namun, Haniff menjelaskan, setiap calon bebas di bawah gagasan itu perlu menandatangani aku janji dengan setiap pengundi di kawasan mereka bertanding, bukan dengan gagasan seperti yang dilakukan parti politik.

“Aku janji mengikat setiap calon gagasan bebas dengan para pengundi secara terus dan sekiranya aku janji itu dimungkiri, calon bebas mesti mengosongkan kerusi dan meletakkan jawatan sebagai ADUN yang beliau telah dipilih.

“Ini satu-satunya cara untuk menentukan ADUN Melaka akan berkhidmat dengan penuh integriti dan ikhlas, bukan kepentingan peribadi tapi semata-mata untuk rakyat negeri. Justeru, saya menegaskan jikalau rakyat inginkan perubahan daripada kerakusan politik kepartian, maka rakyat perlu berubah, berubah daripada minda ketaksuban parti dan pemimpin parti dan beranikan diri memilih calon bebas di bawah gagasan ini,” katanya.

Haniff juga menegaskan bahawa gagasan itu tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana parti politik sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang, malah gagasan itu sendiri tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan sebaliknya berdaftar sebagai syarikat bukan untung.

“Calon-calon gagasan ini sekiranya menang dan sekiranya jumlah cukup, ada peluang bentuk kerajaan dengan sendiri, sekiranya tidak memenangi PRN daan hanya beberapa kerusi, besar kemungkinan parti yang kononnya menang itu perlukan sokongan majoriti, maka masa itu mereka menentukan berdasarkan aku janji diberikan kepada rakyat,” katanya.

Ketua sekretariat gagasan, Sallehudin Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang berkata, pihaknya telah menerima lebih daripada 20 permohonan individu untuk menyertai dan bergabung di bawah gagasan untuk mengambil bahagian dalam PRN Melaka.

“Hasil permohonan tersebut, kita telah menyaring beberapa calon, jadi terdapat lebih daripada 18 orang setakat ini, tetapi senarai calon akan ditentukan, kita akan adakan pelancaran pada hari Ahad dan perkenalkan calon sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dana kempen dibiayai sepenuhnya oleh calon-calon bebas yang kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman dalam politik.

“Semua kempen calon akan dilakukan secara berpusat pada sekretariat, semua bahan kempen akan dikeluarkan melalui sekretariat negeri, kempen dibuat secara bersepadu oleh semua calon dalam kawasan masing-masing.

“Kempen calon pula adalah pembiayaan peribadi, gagasan cuma jadi fasilitator untuk mengurus PRN supaya calon datang secara berkumpulan, bukan sebagai individu melalui gagasan yang ditubuhkan,” katanya.

0 0
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
33 %
Sleepy
Sleepy
33 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
33 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *