MoU Kerajaan, PH: Antara Altruisme dan Taktik Politik

Read Time:2 Minute, 25 Second
MoU Kerajaan, PH: Antara Altruisme dan Taktik Politik

A KADIR JASIN
September 13, 2021 18:42 PM

1. Saya tidak menolak adanya unsur altruisme dalam penandatanganan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik di antara Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) jam 5 petang tadi di Parlimen. Kita harap keikhlasan mereka itu terserlah menjadi kenyataan.

2. Tetapi dari awal-awal lagi kita juga kena akui hakikat bahawa ia berlaku dalam suasana di mana Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob tidak kuat dan Pembangkang pimpinan Anwar Ibrahim lemah.

3. Maka atas dasar itulah kita perlu menganalisis dan memberi nilai kepada MOA tersebut. Mula-mula sekali, kalau perjanjian ini boleh dilihat sebagai pergerakan ke arah bi-partisme dengan tujuan mendamai dan mententeramkan politik negara, ia berlaku disebababkan kedua-dua belah pihak lemah. Untuk nampak relaven dan berkesan, mereka “terpaksa” berpakat.

4. Perdana Menteri Ismail Sabri sedar bahawa kerajaan pintu belakang yang diwarisinya daripada ketua rampasan kuasa “Sheraton Move”, Mahiaddin Md Yasin, lemah. Jadi dengan apa cara juga dia cuba mengelak daripada menghadapi undi Parlimen walaupun banyak orang percaya dia boleh menang jika undi seperti itu diadakan.

5. Pembangkang pula telah hilang “steam” sesudah gagal dalam beberapa percubaan untuk merampas balik kerajaan daripada Mahiaddin sehingga sanggup berjinak-jinak dengan kluster mahkamah dan kleptokrat Umno.

6. Jelas kepemimpinan Anwar semakin kehilangan daya pacuan (traction) apabila “Young Turks” dari parti sekutu DAP melakukan percaturan luar kotak dengan Mahiaddin melalui saluran korporat.

7. Dua watak yang nampak kepada umum sebagai peneraju gerakan itu adalah Ahli Dewan Rakyat DAP bagi Damansara, Tony Pua Kiam Wee dan rakannbya Ahli Dewan Rakyat Bangi, Dr Ong Kian Ming. Tetapi menurut sumber, turut menjadi penggerak kepada usaha itu adalah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan tokoh korporat serta tuan punya Kumpulan Media The Edge, Tong Kooi Ong.

8. Dalam keadaan tersepit kerana tahu dia sudah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, Mahiaddin menerima cadangan kumpulan politik-korporat itu dan menawarkannya kepada Pembangkang sebagai “janji pilihan raya umum ke-15” pada 13 Ogos.

9. Tetapi percubaan Mahiaddin itu sudah terlewat kerana menjelang waktu itu kluster mahkamah dan kleptokrat Umno pimpinan Ahmad Zahid Hamidi telah pun mengambil keputusan menarikan balik sokongan kepada beliau manakala berapa orang ahli Dewan Rakyat daripada PKR menyatakan kecurigaan.

10. Ironinya, apabila Ismail Sabri mencedok idea Mahiaddin itu dan menawarkannya semula sebagai “Transformasi dan Kestabilan Politik” ia disambut baik oleh Pembangkang sehingga membawa kepada MOU hari ini.

11. Ia adalah cetusan helah Ismail Sabri mengelakkan undi percaya Parlimen serta mengurangkan pengaruh kluster mahkamah dan kleptokrat ke atas kerajaannya. Manakala di pihak Pembangkang pula, atau lebih tepat, PH ia adalah pengakuan secara tersirat yang gabungan itu tidak mempunyai cukup undi untuk menjadikan Anwar Perdana Menteri.

12. Namun begitu, harapan kita kepada MOU ini biarlah ia benar-benar akan membantu meredakan krisis politik, menambahbaikkan usaha menangani Covid-19 dan mengembalikan keyakinan terhadap ekonomi negara yang merudum sejak rampasan kuasa Perikatan Nasional 23 Februari tahun lalu.

Wallahuaklam. Terima kasih.

Gambar majlis penandatanganan MOU Kerajaan dengan Pembangkang

0 0
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *