Pembabitan Artis Dalam Politik

Read Time:4 Minute, 32 Second
Pembabitan Artis Dalam Politik

AD SAMAD
Julai 19, 2022

THEFRONTMEDIA.CO – Setiap insan akan terlibat di dalam politik. Sama ada politik di tempat kerja, di persatuan-persatuan yang disertai, di pengurusan rumah ibadat, malah di dalam keluarga dan rumah tangga juga.

Politik wujud kerana setiap insan mempunyai kepentingan tertentu dan tersendiri yang mahu ditegakkan dan dilindungi.

Insan tidak mampu hidup terpulau seorang diri. Maka, para insan mencari kekuatan di dalam berkelompok demi menjaga kepentingannya.

Di dalam berkelompok juga berlaku pergelutan dalaman, di samping pergelutan di antara kelompok.

Adakalanya pihak-pihak yang bertentangan dapat menemui jalan persetujuan dan persepakatan menerusi perundingan, lalu menghasilkan suasana kehidupan yang harmoni meskipun mempunyai perbezaan pendapat dan fahaman.

Namun seringkali juga tiada jalan persepakatan ditemui lalu mengakibatkan permusuhan dan konfrontasi yang hodoh, malah ganas.

Di dalam konteks kenegaraan, pada asasnya parti-parti politik ditubuhkan demi menjaga dan memperjuangkan aliran ideologi yang berasaskan falsafah ekonomi, malah maruah, budaya dan agama sesuatu bangsa.

Tetapi di Malaysia, banyak juga parti politik yang ditubuhkan demi kesinambungan politik ahli-ahli politik tertentu.

Parti-parti politik ditunjangi oleh career politician atau ahli politik yang menjadikan politik sebagai kerjaya. Mereka adalah satu kelompok tersendiri dan berbeza dengan orang kebanyakan yang sekadar ‘bermain’ politik.

Di Malaysia, ada dua sebab utama untuk seseorang menjadikan politik sebagai kerjaya. Sama ada untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara, atau, untuk memiliki kuasa justeru menjadi kaya-raya tak terhingga.

Hidup di dalam sebuah negara yang diperintah oleh sebuah kerajaan pusat dan negeri, setiap dasar yang dirangka dan undang undang yang digubal pasti akan memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap setiap rakyatnya.

Oleh itu setiap rakyat perlu mengambil berat serta memainkan peranan di dalam politik negara, iaitu sekurang-kurangnya dengan mengundi di Pilihan Raya atau terlibat secara langsung bersama parti-parti politik yang didukungi.

Oleh kerana politik melibatkan setiap insan, maka tiada salahnya artis dan selebriti juga menceburi politik kepartian.

Setiap orang seharusnya berhak menyatakan kecenderungan politiknya di samping boleh turut serta secara terbuka di dalam aktiviti kepartian.

Sudah tentu untuk menyatakan pendirian, ia seringkali datang berserta risiko.

Artis berisiko kehilangan peminat dan peluang pekerjaan, malah digam oleh pihak pemerintah yang tidak sehaluan dengannya. Itu semua mengakibatkan kehilangan punca pendapatan.

Sememangnya kebebasan bersuara tidak datang percuma. Sebaliknya, harganya adalah risiko yang tinggi.

Maka jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Seseorang artis yang mahu menyertai politik haruslah bersandarkan pengalaman, ideologi dan wawasan yang beliau miliki.

Beliau harus mempunyai gambaran atau visi jelas mengenai sebuah negara yang mahu beliau wujudkan dan diami. Begitulah sifatnya pemikiran agung.

Seorang artis tidak boleh terus menyertai politik berdasarkan populariti semata mata dan sekadar memperjuangkan isu isu pinggiran seperti masalah royalti hak cipta, skim kebajikan kru penerbitan atau pemberian rumah kos rendah kepada seniman veteran.

Isu-isu sebegitu sudah pun mempunyai ruang atau platform yang lebih tepat, seperti menerusi persatuan-persatuan dan organisasi bukan kerajaan atau NGO.

Begitupun, memperjuangkan isu-isu pinggiran adalah satu permulaan yang baik.

Zed Zaidi adalah contoh yang baik. Sebelum menyertai politik secara terbuka, beliau telah terlebih dahulu melibatkan diri dengan berpersatuan dan memperjuangkan nasib para penggiat seni dengan merangka program-program yang dapat meningkatkan kebajikan para seniman.

Program program yang beliau jalankan dapat membantu beliau dari segi pengurusan dan pentadbiran.

Di samping itu, beliau juga dapat memperbaiki sentuhan peribadinya serta meningkatkan personaliti positif beliau pada kaca mata para ahli persatuan dan masyarakat amnya.

Langkah beliau bukan sekadar satu strategi yang baik, malah menampakkan kesungguhannya untuk berkhidmat.

Afdlin Shauki adalah seorang lagi contoh yang baik. Bertahun sebelum menyertai politik, beliau telah terlebih dahulu melibatkan diri di dalam kerja-kerja sukarelawan dan kemanusiaan, di samping menguruskan sebuah perniagaan.

Kedua dua mereka telah mewujudkan asas dan permulaan yang baik di dalam usaha mereka ke arah sebuah perjuangan yang lebih besar.

Di samping menceburi persatuan dan NGO, sebagai permulaan sebelum menceburi bidang politik kepartian, seorang penggiat seni juga perlu menggunakan senjatanya yang paling utama.

Iaitu, seni.

Keindahan hasil kerja kreatif dan artistik memberi kesan yang mendalam kepada jiwa-jiwa manusia.

Dari lambakan hasil kerja seseorang seniman seharusnya sudah menampakkan tema dan perlambangan kecenderungan falsafah seseorang, baik secara yang tertulis mahupun yang tersirat.

Seorang insan seni mesti menggunakan seni yang beliau miliki bukan sekadar untuk menghasilkan karya-karya kritikan sosial, tetapi juga menghasilkan kerja-kerja yang bisa menjadi instrumen di dalam membentuk dan menyampaikan pemikiran, ideologi dan visinya.

Seorang seniman harus membuat manusia berfikir dan bertindak. Senilah tempatnya untuk menggunakan bakat yang dianugerahkan kepadanya di dalam membina negara.

Karya-karya kritikan sosial memperkatakan isu-isu semasa seperti keadilan sosial, permasalahan ekonomi, ketiadaan identiti dan jatidiri, malah bencana kesihatan seperti obesiti dan depresi.

Lebih daripada itu, karya-karya yang membentuk pemikiran pula mencadangkan solusi menerusi falsafah falsafah aliran aliran pemikiran atau ideologi seperti sosialisme, kapitalisme, libertarianisme dan pelbagai lagi.

Seseorang yang berkecenderungan sosialis, seharusnya secara jelas atau halus mengutarakan isu-isu sosialisme seperti pengagihan kemewahan yang sama rata kepada rakyat serta kemestian setiap sumber kekayaan adalah di bawah penguasaan pemerintah.

Seseorang yang berkecenderungan kapitalisme pula akan mengutarakan isu-isu yang menyentuh keupayaan rakyat untuk berdaya saing demi meningkatkan kemakmuran ekonomi dan kualiti hidup.

Atau seorang yang berkecenderungan Islamisme pula akan mengutarakan keadilan dan keberkesanan Shariah, contohnya.

Berbekalkan karya-karya ciptaan yang bermutu dan berintelek, serta pengalaman yang luas di dalam mengurus dan menjalankan kerja-kerja sukarelawan atau NGO atau bergiat bersama parti di peringkat bawahan atau akar umbi, barulah lebih cantik peralihan seorang artis kepada seorang ahli politik profesional dan bukan sekadar artis yang berpolitik.

Barulah tiada siapa yang mudah memandang artis itu dengan enteng. – Getaran

0 0
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *