PERMINTAAN DAN PENAWARAN – AYAM OH AYAM | Warque

Read Time:5 Minute, 24 Second
PERMINTAAN DAN PENAWARAN – AYAM OH AYAM | Warque

WARQUE
Mei 26, 2022 07:55 MYT

THEFRONTMEDIA.CO – Dalam perniagaan, biar apa barangan sekalipun, hukum ekonomi tetap terguna pakai dalam penentuan harga pasaran. Keseimbangan antara permintaan dan penawaran adalah asas utama. Equilibrium diantara dua aspek berkenaan kekal volatile sepanjang masa. Dalam kehangatan perbincangan ramai tentang isu harga ayam semasa, perlulah kita meneliti kepada asas tersebut untuk memahami punca krisis ini.

Sedikit perkongsian santai. Saya adalah dari kumpulan GenX yang sebenarnya kurang bergantung kepada menu berasaskan ayam secara harian. Saya membesar dalam suasana ekonomi yang mana ikan masih murah. Malahan daging juga masih kompetitif harganya. Ayam hanya merupakan juadah yang dihidangkan secara jarang-jarang. Hingga sekarang, pilihan utama saya tetap ikan. Setelah meningkat usia dan harga ikan turut meningkat, walaupun tidak selaju peningkatan usia saya, saya mula beralih kepada daging. Sayangnya, bermula dari era 90an, daging segar tempatan semakin susah diperolehi serta harganya mula mencanak menjadi agak kayangan.

Mungkin era 90an lah merupakan zaman peralihan kepada ayam sebagai makanan pilihan, menggantikan ikan. Saya kurang pasti, tapi hampir pasti, pada era tersebut, harga ayam mulai menjadi lebih murah serta mampu milik berbanding ikan atau daging, bukan kerana ayam menjadi murah tapi kerana ikan dan daging semakin mahal. Tapi kini, harga ayam mulai menjadi yoyo, kejap naik, kejap turun. Tiba musim perayaan, harga naik semula. Pengguna akan mula bising. Selesai musim perayaan, kerajaan pun bertindak. Kenakan syarat, peraturan, ketatkan perlaksanaan penguatkuasaan dan harga pun kembali normal. (Boleh rupanya turun harga!)

Kenapa harga ayam sering naik-turun? Ada yang merasakan pembekal ‘main harga’. Ada yang merasakan dek kerana wujudnya kartel. Macam-macam lagi. Saya bukan pakar yang boleh menentukan siapa betul siapa salah. Siapa Depp dan siapa Heard. Tapi saya boleh kongsikan maklumat supaya kita sama-sama membuat penilaian ilmiah. Wajarkah kenaikan harga berlaku? Dimanakah puncanya dan siapakah dalangnya? Atau ada yayasan tertentu telibat? Almaklumlah, ada juga berlaku kejadian yayasan melantik kakitangan kurang disiplin, kurang fokus dan kurang ilmu untuk menangani hal berkaitan perbelanjaannya.

Harga ayam, sepertimana lain-lain barangan keperluan, dipengaruhi oleh segala perbelanjaan yang terlibat. Dari proses penternakan sehinggalah keperingkat jualan kepada pengguna oleh peruncit. Dalam konteks bekalan ayam, faktor-faktor yang telah dikenal pasti adalah termasuk kos bahan makanan ternakan, pecahan profitability dalam rantaian penawaran serta kos dan keberadaan tenaga kerja.

Kali ini, saya lebih tertarik untuk berkongsi pandangan tentang isu kenaikan harga makanan ayam.

MAKANAN AYAM : KOMODITI SOYA DAN JAGUNG

Makanan ternakan ayam adalah berasaskan komoditi utama jagung serta kacang soya. Adakah berlaku kenaikan harga pada dua komoditi utama ini? Kalau ada, apakah penyebabnya? Kedua-dua komoditi asas ini telah menyaksikan kemorosotan bekalan dalam pasaran eksport dunia sejak kebelakangan ini. Faktor utama? Cuaca dan juga peperangan. Ini memang satu fakta, malahan telah pun dijangkakan sejak dari tahun 2021 lagi (kebarangkalian kemerosotan pengeluaran). Cuma mungkin sekali, pihak kita terlepas pandang akan unjuran-unjuran yang telah dibuat.

KACANG SOYA

Brazil merupakan pengeksport kacang soya utama dunia dengan eksport tahunan mencecah lebih dari 80 juta tan. Awal tahun ini, pengeluaran terjejas dengan keadaan cuaca yang tidak menentu mengakibatkan kemerosotan pengeluaran sehingga 10%. Ini menjejaskan jumlah eksportnya dengan Bank Dunia dan USDA menjangkakan peningkatan harga global sehingga 43% berbanding tahun lalu bagi tempoh yang sama.

Secara bersama, Brazil (eksport purata 85 juta tan) dan Amerika Syarikat (eksport purata 65 juta tan) menguasai 65% pasaran eksport kacang soya. Paraguay dan Argentina sebagai pengeksport terbesar seterusnya, secara bersama hanya menyumbang sekitar 9% daripada pecahan eksport dunia.

Kemerosotan bekalan kacang soya diburukkan lagi dengan kemerosotan simpanan komoditi berkenaan di US Reserve. Bekalan di dalam US Reserve pada jangka waktu krisis ini merosot 55% daripada jumlah tahun lalu, menjadi hanya sekitar 7 juta tan. Ini telah menjejaskan keupayaan untuk mengimbangi harga pasaran dunia. US Reserve adalah satu mekanisma oleh kerajaan Amerika Syarikat bagi mengimbangi harga komoditi-komoditi utama dunia melalui stok yang akan dilepaskan kedalam pasaran pada ketika darurat serta krisis.

JAGUNG

Pengeluaran jagung menyaksikan kemerosotan berikutan bekalan baja yang terjejas akibat peperangan Ukraine-Russia. Negara-negara Kesatuan Eropah serta Amerika Syarikat sangat bergantung kepada bekalan baja daripada Russia untuk tanaman jagung. Amerika Syarikat juga merupakan pengeksport jagung utama dunia dengan jumlah mencecah 68 juta tan (2020) ataupun 36% daripada jumlah eksport dunia. Brazil dan Argentina sebagai pengeksport ke-2 dan ke-3 terbesar, secara cummulative, menyumbangkan kira-kira 39% dari eksport dunia. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pengeksport ke-4 terbesar dengan penguasaan pasaran sekitar 13%, iaitu Ukraine, terlibat dalam peperangan.

Harga jagung di pasaran komoditi hari ini mencecah sehingga RM3,453.00 /tan, dengan harga terendah dalam kitaran 12 bulan sebelum adalah hanya sekitar RM2,175.00 /tan.

KESIMPULAN

Ringkas maklumat yang saya kumpulkan di atas. Ringkas, tapi untuk mengumpul maklumat berkenaan, bukanlah satu kerja mudah. Banyak memakan masa serta tumpuan. Namun, saya usahakan juga untuk dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya saya dapat membantu anda menjimatkan masa. Kalau memerlukan maklumat lebih lanjut, boleh ikuti pautan-pautan yang saya senarai. Itu adalah sumber maklumat utama yang saya gunakan. Rujukan kena sahih, baru boleh jadi nas.

Bagi isu kenaikan harga ayam pula, saya selalu teringat kata-kata dari seorang penjawat jawatan tinggi dalam KPDNHEP kepada saya suatu masa dulu. Lebih kurang, maksud yang ingin dia sampaikan adalah, ‘kuasa ditangan pengguna’. Tapi dia tidak boleh mengungkapkannya secara terbuka, takut menjadi isu lain pula kesannya nanti. Saya membuat telahan sendiri, harga adalah berdasarkan penawaran dan permintaan. Andai permintaan jatuh, harga terpaksa menyusul. Jika kita sebagai pengguna merasakan harga semasa masih lagi kita mampu, dan masih boleh dikategorikan sebagai ‘harga sepatutnya’ untuk produk berkenaan, maka ‘go ahead’. Teruskan menyokong ‘permintaan’ dan melestarikan peningkatan harga.

Pada 23 Mei lalu, kerajaan juga mangumumkan rancangan mewujudkan ‘stok penimbal ayam’ (yang saya rasakan mungkin mirip US Reserve) dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

~bila wak ngobrol~

WARQUE merupakan seorang Perunding bebas. Mempunyai latarbelakang dalam Finance & Accounting dengan pengalaman berkhidmat di rantau Aia Tenggara. Beliau sering menyumbangkan penulisan membincangkan isu-isu semasa melalui media elektronik tempatan. Penulisan beliau lebih bersifat informatif dengan mengutamakan perkongsian ilmu dalam bentuk penulisan santai dan bersahaja.

Rujukan:

https://finance.yahoo.com/news/global-soybean-market-2022-lower-102500172.html

https://www.wsj.com/articles/soybean-prices-surge-as-south-american-outlook-deteriorates-11644619550

https://www.wsj.com/livecoverage/russia-ukraine-latest-news-2022-03-31/card/war-related-fertilizer-shortage-leads-to-slump-in-u-s-corn-planting-PGktz0Yry0hCWNrFo8p1

https://beef2live.com/story-ranking-countries-export-corn-88-206186#:

https://fred.stlouisfed.org/series/PMAIZMTUSDQ

https://www.nasdaq.com/market-activity/commodities/zc

Kabinet umum larangan eksport ayam, mansuh permit import untuk gandum

1 0
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *