RENCANA | Walau Rancak, Jangan Berdosa

Read Time:2 Minute, 43 Second
RENCANA | Walau Rancak, Jangan Berdosa

NORDEN MOHAMED
Disember 22, 2021

THEFRONTMEDIA.CO – HUJAN lebat pada 17 Disember lalu yang diterima warga Selangor dianggap sebagai sesuatu yang biasa. Tidak ramai yang perasan Jabatan Meteorologi Malaysia telah memberi amaran bahawa hujan lebat akibat siklon Rai yang melibas Filipina akan berterusan hingga mengakibatkan banjir besar.

Menjelang Ahad, banyak kampung, bandar dan taman dinaiki air. Banyak kawasan terputus hubungan dan menjadi pulau. Ribuan kenderaan terperangkap di jalan raya.

Malah, ada juga kenderaan yang terperuk dan terbalik dilambung arus seperti di Hulu Langat. Ribuan rakyat terpaksa menyelamatkan diri. Ramai meninggalkan rumah sehelai sepinggang.

Yang ada keluarga dan sahabat handai, dapatlah mereka tumpang menginap. Yang tidak sempat bertindak dan hilang arah, terpaksa menumpang di masjid, dewan dan sekolah. Ramai juga terpaksa berteduh dan bermalam di pasar raya.

Hingga Ahad, tiada pengumuman khusus daripada pihak pemerintah. Bencana alam bukan sahaja melibatkan harta benda tetapi nyawa.

Namun, pemimpin politik menyepi. Kalau ada pun kenyataan, ia dikeluarkan menurut bacaan skrip kenyataan yang tertulis dan jawapan retorik standard.

Sedih. Rakyat nampak betapa pemimpin politik bercakap penuh emosi mengkritik sesama mereka tetapi tiada kata-kata penuh perasaan bagi membela nyawa rakyat yang terluah daripada bibir mereka. Ke mana ‘jiwa rakyat’ mereka?

Dalam pada itu, ratusan kenderaan rakyat khususnya dari utara berderet-deret menghala ke Lembah Klang untuk turun membantu. Mereka tahu dan prihatin dengan apa yang dirasai warga Selangor kerana mereka pernah melalui bencana alam itu sebelum ini.

#RakyatJagaRakyat. Begitulah tanda pagar dalam banyak status di media-media sosial. Bagus kerana rakyat kian sedar mereka tidak boleh mengharap kepada pemerintah.

Sudah lama mereka berasakan begitu tatkala ahli-ahli politik asyik berebut kerusi ketika pandemik. Apakah mereka sudah jauh berada di puncak kayangan sehingga mereka lambat turun ke bumi untuk meranduk banjir?

Keadaan cuaca kini semakin tenang. Langit tampak membiru. Matahari memancar terik. Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca khususnya di Selangor dalam keadaan baik walaupun hujan diramalkan akan lebat di lain-lain negeri utara dan timur Semenanjung.

Kini rakyat kembali ke rumah untuk melihat apa yang ditinggalkan. Benar, tatkala hujan lebat dan masing-masing menyelamatkan diri dan peralatan, ramai kelihatan bersemangat kerana ramai yang sama senasib.

Namun, apabila melihat harta benda yang ditinggalkan apabila tiba di halaman rumah, kesukaran mula dirasai.

Yang lelah adalah tenaga membersihkan rumah. Jika menjirus najis kucing di celah pasu bunga dalam keadaan biasa sudah cukup menyakitkan hati, betapa pula membersihkan seluruh rumah.

Yang perit adalah poket. Ribuan ringgit diperlukan untuk membaiki kesemuanya. Dalam sebulan ini, ramai hidup bagaikan pelarian di rumah dalam serba kekurangan.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Inilah realiti. Kadangkala ia dirasai bagaikan seksaan, ada masanya ia ditangani sebagai satu ujian. Perasaan trauma akan berselang-seli dengan rasa cekal ketika mengatur satu persatu langkah bagai memulakan hidup baharu.

Dalam tempoh ini, kita yang bertuah kerana tidak terlibat langsung dengan banjir seharusnya sujud syukur. Buktikan rasa syukur itu dengan menghulur sedekah dalam bentuk wang ringgit, makanan, pakaian atau apa juga keperluan melalui pelbagai pihak yang sedia menyelaraskan bantuan kita.

Andainya tidak boleh juga, jauhkan diri daripada tergelek, tergelak dan tersengih-sengih dengan penuh ‘rancak seolah-olah tidak rasa berdosa’ kerana tidak peduli dengan saudara-saudara kita yang sugul membalut luka hati yang cedera akibat bencana itu.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Sumber : Sinar Harian 

 

 

 

0 0
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *