RESET & REBUILD | Rafidah Aziz : 6 soalan kepada kerajaan menjelang pembukaan sidang Parlimen

Read Time:1 Minute, 56 Second
RESET & REBUILD | Rafidah Aziz : 6 soalan kepada kerajaan menjelang pembukaan sidang Parlimen

FMT REPORTER
Julai 22, 2021 05:45 AM

RESET & REBUILD | Bekas menteri Rafidah Aziz mengajukan enam pertanyaan kepada kerajaan yang mewakili orang ramai menjelangnya pembukaan semula sidang Parlimen pada 26 Julai ini.

Katanya, soalan pertama ditujukan kepada bekas pelajarnya di universiti, iaitu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Boleh tak Perdana Menteri tolong jelaskan apa sebenarnya tugas lebih 70 anggota kabinet untuk membantu menangani pandemik, terutamanya dalam penglibatan dalam talian secara efektif dengan pihak berkepentingan yang relevan?” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Beliau mempersoalkan sama ada Perdana Menteri mendapatkan laporan bagaimana setiap kementerian dan agensinya akan beroperasi selepas pandemik.

Soalan kedua Rafidah mengenai sama ada kerajaan akan menerbitkan laporan bagaimana wang rakyat dibelanjakan, siapa membenarkannya dan melalui proses apa.

“Dalam hal ini, berbilion sudah dibelanjakan setakat ini menerusi pelbagai pakej. Tolong perincikan setiap perkara, jumlah, kumpulan sasar dan apa kesannya setakat ini.”

Ketiga, beliau meminta Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz memberikan perkembangan terbaru jumlah hutang awam setakat 15 Julai, berapa banyak yang dipinjam kerajaan ketika pandemik dan berapa banyak jumlah yang digunakan daripada Tabung Amanah Negara.

Beliau juga meminta maklumat terperinci mengenai berapa banyak yang sudah dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan berapa ramai pencarum yang mempunyai kurang RM1,000 dalam akaun persaraan mereka.

Rafidah menambah, Tengku Zafrul harus menjelaskan apa langkah yang sudah dilakukan untuk memulihkan ekonomi dan mengekalkan pertumbuhan sosio-ekonomi, dan sekiranya terdapat rancangan untuk memastikan Malaysia berdaya saing dalam pasaran antarabangsa.

Soalan keempatnya diajukan kepada Kementerian Pendidikan, mengenai rancangan dalam menjalani norma baharu, seperti melatih semula guru, melakukan format semula terhadap kandungan pendidikan dan penilaian secara efektif terhadap prestasi pelajar di semua peringkat dan bidang.

Rafidah, dalam soalan kelimanya pula, bertanyakan bilakah masanya semua kementerian akan memaklumkan orang ramai mengenai dasar baharu dan inisiatif mereka pada saat Covid-19 dapat dikendalikan.

“Ini untuk menjelaskan beberapa kebimbangan bahawa ramai menteri langsung tidak melakukan apa-apa, terutama dalam menangani pelbagai isu dihadapi oleh pihak berkepentingan masing-masing dalam masyarakat dan ekonomi.”

Yang terakhir, Rafidah meminta menteri yang memegang portfolio membabitkan kebajikan masyarakat, kesihatan mental dan golongan terjejas untuk menjelaskan bagaimana mereka menangani kesan pandemik dan apa langkah diambil untuk bergerak ke hadapan.

“Saya harap jawapan akan diberikan selepas ini dan bukannya hanya dengan ayat menjemukan ‘kita akan kaji’, ‘kita akan jawab kemudian cara bertulis’ atau memberi jawapan yang langsung tiada kaitan.” — FMT

0 0
Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *