>SALLEHUDIN AMIRUDDIN
Julai 19, 2022
Semalam saya dah dengar ucapan PM di parlimen berkaitan makcik jual goreng pisang tak boleh pakai minyak (masak) paket. Ia satu kesalahan katanya.
Saya setuju apabila PM kata tak mungkin penguatkuasa akan saman, tangkap dan rampas minyak dari makcik jual goreng pisang kerana tindakan itu zalim.
Persoalan kita mudah, undang-undang tidak boleh berlaku dalam dwi standard, jika salah tetap salah dan ia perlu diambil tindakan samada pengusaha kecil atau besar.
Jika makcik goreng pisang boleh dikecualikan dari tindakan maka mengusaha restoran besar juga boleh menuntut pengecualian yang sama.
Oleh itu saya cadangkan agar pindaan terhadap akta berkaitan dibuat dan diselaraskan demi memastikan kedaulatan undang-undang itu dipelihara.
Jika ada keperluan peniaga kecil dikecualikan dari menggunakan minyak masak bersubsidi maka ia wajar dilakukan melalui proses undang-undang agar ia jelas kepada semua rakyat.
Jangan hanya PM kata bahawa tidak mungkin penguatkuasa ambil tindakan kepada makcik goreng pisang sahaja maka undang-undang sudah berkuat kuasa tanpa disokong dengan undang-undang pengecualian dan pemansuhan yang kekal.
Apa akan jadi jika dimasa akan datang makcik goreng pisang disaman oleh penguatkuasa kerana menggunakan minyak paket?
Adakah dengan hanya berbekalkan alasan bahawa ucapan PM semalam boleh membatalkan saman?sudah tentu tidak boleh, kerana saman dikeluarkan dibawah akta dan undang-undang yang masih berkuatkuasa seperti sekarang.
Demi memastikan kelansungan kitaran ekonomi penjaja kecil maka undang-undang itu harus dipinda agar ia tidak menjadikan setiap tindakan penguatkuasa akan berakhir dengan dwi-standard.
Buatlah sesuatu dengan betul sekarang agar ia tidak mengundang polemik dimasa akan datang.
*** Yang Berhormat Sallehudin Amiruddin merupakan Ahli Dewan Negeri Selangor kawasan N13 Kuang.